Analisa hubungan Israel-Iran
Oleh : Iliyas Ismail
Iran sendiri sebenarnya tidaklah melihat kehancuran Israel sebagai satu keutamaan pada masa ini dalam polisi luarnya, ia cuma melihat Israel sebagai satu negara musuh, tetapi keutamaannya adalah terhadap negara lain termasuk kepada Syria, Lebanon dan Yaman. Punca Israel begitu risau terhadap Iran adalah kerana Iran mempunyai sekutu yang mana sekutunya itu mempunyai agenda utama terhadap Israel, yakni Hizbullah.
Iran memberikan bantuan senjata dan dana kepada musuh-musuh Israel seperti Hizbullah, Hamas dan pertubuhan Jihad Islam Palestin (PIJ) yang begitu memusuhi Israel. Ini yang Israel maksudkan sebagai Iran merupakan ancaman yang besar terhadap kewujudannya. Kerana itulah Israel begitu gusar dengan kemungkinan Iran mampu membangunkan persenjataan nuklear, kerana Israel menganggap apa-apa ancaman terhadap kewujudannya secara sangat serius, walaupun negara itu tidak pernah menghantar apa-apa tentera untuk menyerang Israel, tetapi cukup untuk Israel meletakkan Iran sebagai musuh utama apabila ia tanpa gagal terus membekalkan senjata kepada Hizbullah.
Israel dan Iran tidak mempunyai hubungan diplomatik, tidak seperti negara-negara Timur Tengah lain seperti Mesir dan Jordan, masing-masing membuka kedutaan Israel di negara mereka pada tahun 1979 dan 1994. Turki juga mempunyai hubungan diplomatik walaupun sejak insiden Marvi Marmara, hubungan antara kedua negara agak tegang. Arab Saudi juga seperti hilang kredibiliti di kalangan mereka yang pro-Palestin apabila mula bekerjasama dengan Israel untuk menghadapi ancaman Iran. Laporan-laporan yang mengatakan keduanya kini giat mengadakan perbincangan sulit hanya memburukkan lagi imej dinasti Saud yang sememangnya selama ini merupakan sekutu rapat US.
Terbaru, Bahrain pula dikatakan mula memperbaiki hubungan dengan Israel.
Terbaru, Bahrain pula dikatakan mula memperbaiki hubungan dengan Israel.

Raja Salman meneruskan legasi dinasti Saud dalam menjadikan US sekutu dan teman rapat.
Iran satu-satunya negara yang secara aktif masih memusuhi Israel dan melawannya secara proksi, walaupun seperti yang disebut, bukan sebagai satu keutamaan. Syria juga merupakan musuh Israel, tetapi kerana Syria agak ketinggalan dari segi kekuatan tentera, Syria dan Israel tahu perang terbuka di antara mereka akan berakhir dengan kekalahan Syria. Kerana ini, walaupun beberapa kali diserang Israel baru-baru ini, Syria tidak menyerang balas.
Iran bagaimanapun, tidak konsisten dalam permusuhannya dengan rejim Zionis itu. Ketika perang Iraq-Iran pada 80an, Iran mendapat bantuan persenjataan daripada Israel, dengan bantuan US, dalam perjanjian sulit Contra Affair. Dalam perjanjian ini, Israel menjadi orang tengah di mana ia menjual senjata kepada Iran dan keuntungannya diberikan kepada US, yang mana US kemudian menggunakan duit itu untuk membeli senjata untuk dibekalkan kepada militan pada peperangan Nicaragua di Amerika Selatan. Bahkan sebelum Contra Affair ini berlangsung, Israel secara sendiri telah menjual senjata kepada Iran untuk melemahkan Iraq yang dilihat sebagai ancaman yang lebih besar kepadanya ketika itu.
Keadaan ini boleh disamakan dengan Mujahidin Afghanistan yang sanggup menerima bantuan daripada US apabila menentang tentera Soviet pada 1980an. Iran sebagai sebuah republik Islam juga, tidak merasa canggung untuk bekerjasama dengan negara Zionis itu untuk menentang musuh bersama mereka Iraq. Tetapi setelah perang Iran-Iraq berakhir, mereka tidak lagi berminat untuk bekerjasama dengan Israel.
Walaupun dituduh oleh sesetengah pihak bahawa Iran sebenarnya masih baik dengan Israel sehingga sekarang, ini tuduhan yang tidak berasas, bahkan tuduhan-tuduhan seperti semakin berkurangan lagi-lagi apabila banyak negara lain di Timur Tengah yang secara terang mula berbaik dengan Israel, terutamanya Arab Saudi. Iran tetap bermusuhan dengan Israel.
Walaupun dituduh oleh sesetengah pihak bahawa Iran sebenarnya masih baik dengan Israel sehingga sekarang, ini tuduhan yang tidak berasas, bahkan tuduhan-tuduhan seperti semakin berkurangan lagi-lagi apabila banyak negara lain di Timur Tengah yang secara terang mula berbaik dengan Israel, terutamanya Arab Saudi. Iran tetap bermusuhan dengan Israel.
Kemungkinan untuk Israel menyerang Iran masih ada, walaupun setelah Amerika di bawah Obama menandatangani perjanjian dengan Iran berkenaan mengurankan kapasiti teknologi nuklearnya. Trump merupakan seorang sekutu rapat Israel, bahkan tidak keterlaluan disebut sebagai boneka Zionis. Apa saja yang dilakukannya hanya untuk memenangi hati para simpatisan Zionis, dan terbaru, dengan mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel.
Hubungan antara Israel dan Iran hanya akan terus bermusuhan. Pun begitu Iran tahu kemampuan Israel, dan tidak akan menyerang Israel tanpa diserang dahulu. Dan Iran juga akan lihat, apakah serangan Israel itu benar-benar perlu untuk diserangbalas. Seperti yang dilihat, apabila pangkalan Iran diserang di Syria pada bulan lalu oleh Israel, Iran tidak menyerang balas. Ini kerana serangan itu tidak dilihat cukup untuk Iran memulakan perang baru dengan Israel, perang yang akan mengakibatkan kos yang cukup tinggi kepada Iran yang sedang dalam proses pembangunan setelah sekatan antarabangsa dialihkan dua tahun lalu.
Comments
Post a Comment