Krisis Jerusalem dan penyelesaiannya

Oleh: Iliyas Ismail

Melihat kepada isu Jerusalem, ada dua saja cara penyelesaian yang praktikal, jalan rundingan dan jalan peperangan. Cara perundingan sudah terlalu sulit dan walaupun perlu untuk pihak Palestin dan Israel menyambung rundingan yang sudah terhenti, sukar untuk kita katakan ia akan membuahkan hasil yang diingini, yakni Israel memberikan semula Jerusalem timur kepada Palestin. Paling jauh yang mereka boleh pergi pun adalah untuk Israel menawarkan sebahagian besar Tebing Barat dan Gaza kepada Palestin untuk dijadikan sebuah negara, tetapi Jerusalem Timur kekal bersama Israel sekali dengan Jerusalem Barat. Masyarakat antarabangsa tidak mempersoalkan status Jerusalem Barat kerana ia tidak berada dalam kawasan sempadan 1967, di mana itu garis sempadan yang diiktiraf PBB, iaitu sebelum Israel menguasai Jerusalem Timur, tapak masjid Aqsa, Dinding Meratap (bagi Yahudi), dan gereja Holy Sepulchre, tiga pusat agama paling suci bagi penganut ketiga agama ini.

Kaedah rundingan memang tidak akan membuahkan hasil kerana Palestin terlalu lemah dan tiada apa yang boleh ditawarkan pihak Palestin untuk membuatkan Israel bersetuju untuk memberikan "ibu negaranya" yang sudah diisytiharkan "tidak akan dipisahkan buat selamanya" kepada mereka. Termasuk dalam Sidang Kemuncak Kem David (Camp David Summit) 2000, apabila Israel bersedia mengiktiraf negara Palestin dengan berundur dari hampir keseluruhan dari Tebing Barat, Israel tetap enggan memberikan Jerusalem Timur kepada Palestin. Ini antara sebab kenapa Arafat tidak bersetuju dengan rundingan ini. Jerusalem terlalu berharga bagi Israel.

Jika Amerika memberi tekanan kepada Israel untuk menyerahkan Jerusalem Timur sekalipun, Israel tidak akan melakukannya, dan presiden Amerika pada waktu itu pun akan ditentang habis-habisan oleh rakyatnya sendiri.

Maka mahu atau tidak, hanya satu saja cara untuk mendapatkan Jerusalem iaitu melalui cara penaklukan, seperti yang dilakukan oleh Israel pada tahun 1967. Sama ada melalui negara-negara Arab memasuki Israel, atau melalui pasukan militan Hizbullah dibantu oleh Iran dan negara lain, Jerusalem Timur hanya akan menjadi milik Palestin dengan kaedah peperangan. Jadi ketika ini, apabila tiada pilihan untuk memulakan peperangan, maka tidak usahlah sesiapa berangan-angan untuk mampu menguasai Palestin.

Saya seorang yang memilih jalan perdamaian dan mahukan jika konflik Israel-Palestin diselesaikan melalui jalan ini, tetapi kita harus berpijak pada bumi nyata, dan saya tidak lihat ada apa-apa yang boleh diberikan oleh pihak Palestin untuk mengelabui mata Israel untuk menyerahkan bukan saja Jeruslaem Timur, tetapi Tebing Barat dan Gaza sepenuhnya untuk menjadikannya tapak sebuah negara.

Maka apabila Amerika Syarikat telah mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negara Israel, sememangnya tiada apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat antarabangsa untuk mengubah pemikiran Amerika. Perlu diingat, bahawa tindakan Amerika ini hanyalah tindakan simbolik dan tidak memberi kesan langsung kepada status Jerusalem itu sendiri. Ia hanya bermakna Amerika yang mengiktiraf, masyarakat antarabangsa boleh untuk tidak bersetuju, dan Jerusalem tetap sebagai statusnya, sebuah bandar yang dikuasai Israel, dan dipersoal statusnya oleh masyarakat Palestin dan antarabangsa.

Cuma apa yang dirisaukan oleh tindakan Amerika ini oleh ramai pihak, adalah ia akan mempengaruhi negara-negara lain untuk melakukan perkara sama dan mengiktiraf juga bandara Jerusalem. Jujurnya, walau ramai yang menjadikan ini satu isu besar (bahkan sehingga perlunya resolusi dibentangkan di PBB berkenaan ini), apa yang dilakukan Amerika itu memang haknya. Mereka berhak untuk meletakkan kedutaan mereka di mana saja mereka mahu, dan tidak perlu peduli kepada kata-kata orang lain, kerana ini hanya mereka yang mengiktiraf, bukannya ia jadi satu kewajipan untuk negara-negara lain ikut tindakan Amerika ini. Israel sudah lama mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu negaranya, adakah tu menjadikan ia wajib, untuk negara-negara lain juga melakukan hal yang sama. Tidak, dan masyarakat antarabangs hampira kesemuanya menolak klaim ini, termasuk juga Amerika, sehinggalah apabila Trump mengubah polisi ini baru-baru ini. 

Jadi, sama ada Palestin melepaskan tuntutannya ke atas Jerusalam, atau mereka mengangkat senjata untuk menguasai bandar itu. Jika tidak, rundingan hanya akan jadi satu alat untuk Israel menangguhkan "status akhir" Jerusalem, dan untuk menjadikan rakyat Palestin akhirnya penat menuntut dan memberikan saja bandar itu kepada Israel. Atau ia akan menjadi kes pending yang tidak berkesudahan samapai bila-bila, sementara Israel terus saja menjadikan bandar itu ibu negaranya sementara kes itu 'selesai'. Inilah yang terjadi kepada tuntutan rakyat Palestin terhadap Israel, asalnya perjuangan rakyat Palestin adalah untuk mendapatkan semula keseluruhan tanah Palestin (negara Israel sekarang) tanpa pengecualian, tetapi sekarang rata-rata mereka mengiktiraf negara Israel dan hanya menuntut Tebing Barat (termasuk Jerusalem Timur) dan Gaza sahaja setelah ia sudah jadi mustahil untuk mendapatkan semula Palestin secara keseluruhan. Nanti, mungkin Jerusalem juga akan jadi tuntuntan yang dilepaskan.

Janji Israel untuk menjadikan ini sebagai realiti, adalah dengan mengatakan Masjidil Aqsa akan terus dilindungi dan orang Islam akan terus dibenarkan untuk bersembahyang di sana. Apakah ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh Palestin? Tiada.

Comments

Popular Posts