Peranan Saudi dalam memburukkan krisis Yaman
Oleh: Iliyas Ismail
Tentera Saudi yang dijemput masuk oleh sekutunya, Abdul Rabbuh Mansur Hadi, terus menyasarkan Houthi tetapi dalam pada menyerang, telah mengakibatkan kematian ribuan orang awam. Kita cukup jelas, bahawa dalam peperangan, pasti akan ada kematian orang awam yang terbunuh secara tidak sengaja. Ini sesuatu yang sukar dielakkan. Tetapi sesebuah pasukan tentera itu perlulah mengambil semua langkah untuk mengurangkan atau mengelakkan kadar kematian orang awam.
Saudi sebenarnya merupakan sebahagian daripada tentera bersekutu yang menyerang Yaman, ia juga melibatkan penglibatan negara-negara Timur Tengah lain seperti Bahrain, Kuwait, Mesir termasuk juga beberapa negara barat. Tetapi penglibatan Arab Saudi adalah yang terbesar memandangkan Saudi yang mempimpin pakatan ini, dan ia juga yang paling banyak menjalankan serangan udara. Kita terbayangkan, apakah Arab Saudi telah melakukan segala yang perlu untuk mengurangkan kematian orang awam di Yaman?
Bukan saja menyerang secara melampau, tetapi juga melakukat sekatan ke atas Yaman.
Serangan udara Arab Saudi di Yaman dilihat keterlaluan oleh banyak pihak, sehinggakan sekolah dan hospital juga kerap kali diserang. Pada Ogos 2016 misalnya, pertubuhan Medisin San Frontiers (Doktor Tanpa Sempadan), telah mengundurkan diri dari enam hospital di utara Yaman atas faktor keselematan, setelah tentera Saudi dilihat menyerang empat hospital dalam tempoh 12 bulan. Tidak banyak beza antara Israel dan Saudi dalam kes ini, kerana Israel juga pernah menyerang hospital di Gaza pada Julai 2014. Rejim Zionis yang dilihat kejam itu, rupanya tidak kelihatan begitu kejam apabila dibanding dengan rejim Saudi.
Bahkan laporan UN pada Oktober lalu juga menyebut Saudi bertanggungjawab mengebom 38 hospital dan sekolah di Yaman sepanjang tahun 2016. Tindakan Saudi yang mengepung Yaman pula, menyebabkan krisis kemanusiaan yang amat buruk. Situasi di Yaman bolehlah dikatakan sebagai parah, dan ramai yang mati akibat kebuluran. Bagaimana bekalan makanan dan ubat hendak masuk, kalau Saudi menyekatnya daripada sampai?
Setelah 1000 hari, Yaman kelihatan masih akan terus berada di dalam konflik. Saya simpati dengan rakyat Yaman yang perlu bertahan saban hari dengan situasi peperangan dan tidak mampu untuk lari ke tempat selamat. Saya tidak bersetuju dengan dengan tentera Houthi yang menghuru-harakan keadaan di Yaman, tetapi adalah lebih tidak patut untuk Saudi menggunakan kekerasan melampau terhadap rakyat Yaman.
Setelah 1000 hari, Yaman kelihatan masih akan terus berada di dalam konflik. Saya simpati dengan rakyat Yaman yang perlu bertahan saban hari dengan situasi peperangan dan tidak mampu untuk lari ke tempat selamat. Saya tidak bersetuju dengan dengan tentera Houthi yang menghuru-harakan keadaan di Yaman, tetapi adalah lebih tidak patut untuk Saudi menggunakan kekerasan melampau terhadap rakyat Yaman.
Jika mahu dibanding dengan situasi di Palestin, rakyat Gaza di Palestin sekurangnya tidak perlu berhadapan dengan situasi kebuluran dan penyakit ketika dan selepas serangan Israel ke atas mereka, tetapi rakyat Yaman berada dalam situasi berbeza sama sekali. 1/3 rakyat Yaman kini berada di dalam kebuluran manakala selebihnya juga berada dalam kondisi yang menyedihkan. Selagi tentera Arab Saudi mengadakan sekatan terhadap Yaman, selagi itulah lebih ramai rakyat Yaman akan menderita.
Comments
Post a Comment